Tuesday, April 12, 2011

Ucapan Yang Di Pertua JPP, Saudara Al Mutahhara Bin Kamaruddin Padu.

Al Mutahhara Bin Kamaruddin
YDPJPP PKK

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala pujian hanya bagi Allah, yang Maha Bijaksana mencipta makhluk dan menetapkan hukum serta pelaksanaannya. Hanya Dia yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi. Selawat dan salam kepada Rasulullah SAW yang diutuskan oleh Allah SWT. Selawat dan salam juga kepada para sahabatnya, kepada sesiapa yang mengikut perjalanannya, serta para pejuang agama Allah dalam bentuk apa jua pun termasuklah yang berjuang melalui demokrasi, akademik, peperangan, dan lain-lain.

Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menunaikan amanah dengan menyerahkannya kepada orang yang ahli (layak) dan apabila kamu melaksanakan hukuman di kalangan manusia, hendaklah kamu melaksanakan hukuman itu dengan adil, sesungguhnya Allah memberi ajaran kepada kamu dengan apa yang sebaik-baiknya. Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah An-nisa : 58).

Ayat di atas merupakan salah satu perintah Allah SWT supaya kita sebagai umat Islam mengambil penting tentang sistem pemerintahan organisasi dan Negara. Pemisahan antara Islam dengan sistem pemerintahan adalah satu kezaliman yang dimurkai oleh Allah SWT kerana melanggar perintah Allah SWT. Sebagaimana firmanNya :

“Dan tidak patut orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman apabila telah ditetapkan oleh Allah (Al-quran) dan RasulNya (hadith), mereka mengambil pilihan lain (mengambil hukum selain daripada Al-Quran dan Hadith),  dan janganlah menderhaka kepada Allah dan RasulNya (mengambil hukum selain daripada Al-quran dan Hadith), yang demikian itu adalah perkara yang sesat, sesat yang nyata.”

Hal ini saya tegaskan kerana perkara ini sangat berleluasa dalam kehidupan kita. Timbulnya idealisme-idealisme baru seperti sekularisme menghancurkan aqidah dan kehidupan umat Islam pada hari ini. Islam dianggap sebagaai tempelan sahaja bukan sebagai ad-din yang dimaksudkan oleh Islam sebagai petunjuk jalan kehidupan di dunia. 

Allah telah menjadikan kita sebagai manusia daripada setitis air mani yang hina. Jika air mani tersebut jatuh ke tanah, seekor ayam pun tidak mahu memakannya. Apatah lagi kita sendiri pun geli dengan air mani tersebut. Tetapi sebilangan manusia tidak kenal kepada diri sendiri dengan melupakan asal kejadian sehingga menyebabkan manusia berani melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam Al-quran dan melalui Hadith Rasulullah SAW.

Siapa pun kita, kita tetap hamba Allah SWT. Oleh itu, kita wajib mengikut perintah Allah SWT kerana Dialah Pencipta kita. Dialah doktor zahir dan batin. Dialah Jurutera kita yang menciptakan kita yang tidak ada tandingannya. Belum ada lagi jurutera yang boleh mencipta manusia yang boleh, tidur, bangun dan sebagainya. Tetapi malangnya kita lebih kagum kepada jurutera yang mencipta kenderaan, tetapi kita tidak kagum pada Allah yang menciptakan ‘Bura’ kenderaan Rasulullah SAW semasa berlakunya Isra’ dan Mikraj yang kelajuannya diukur melalui kelajuan cahaya dan sehingga hari ini belum ada lagi kenderaan yang sama kelajuan dengan bura tersebut.

Sebelum mengakhiri penulisan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat dan sahabiah yang membimbing saya ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT sepanjang saya berada di Politeknik Kota Kinabalu terutamanya kepada yang berada dalam Jawatankuasa Perwakilan Pelajar. Tidak lupa juga kepada para staf dan pensyarah yang memberikan kritikan yang membina kepada saya sepanjang saya memegana amanah Allah SWT sebagai Yang Di Pertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar. Terima kasih juga saya ucapkan kepada sahabat dan sahabiah yang berada dalam Kelab Islah kerana membantu saya dalam Pilihan Raya Kampus sehingga menubuhkan Himpunan Penyokong Al Mutahhara (HPA) yang merupakan Jentera Pilihan Raya Kampus pada tahun 2011 ini. Terima kasih kepada yang saya tidak sebut tetapi membantu saya melelui doa yang sangat berharga pada diri saya.

Di samping itu, saya juga ingin mengucapkan ribuan kemaafan kepada seluruh warga Politeknik Kota Kinabalu sekiranya saya ada terkasar bahasa ataupun kesalahan-kesalahan yang lain yang pernah saya lakukan sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak sedar.

Akhir sekali, saya ingin berpesan kepada seluruh Umat Islam supaya masuk ke dalam Islam dengan menyeluruh sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al-quran yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh (menolak sekularisme yang memisahkan Islam dengan pemerintahan, hiburan, akhlak, dan lain-lain). Dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi kamu.”

‘Islam Adil Untuk Semua’.

Wallahu’alam.

Hamba Allah yang dhoif :

Al Mutahhara


Al Mutahhara Bin Kamaruddin Padu,
Yang Di Pertua,
Jawatankuasa Perwakilan Pelajar,
Politeknik Kota Kinabalu,
Sabah.

No comments:

Post a Comment